icon-search

Tips Berjaya Dalam Temuduga

Tips Berjaya Dalam Temuduga

Bagaimanakah perasaan anda setelah dihubungi dan dimaklumkan bahawa anda telah mendapat panggilan menghadiri temu duga? Tentu gembira bukan kepalang, bukan? 

Apabila anda mendapat panggilan temu duga, kini tiba masanya untuk anda mempersiapkan diri bagi sesi temu duga akan datang. Kebiasaannya pihak syarikat akan memaklumkan sekurangnya 3 hari sebelum tarikh temu duga.

Dalam tempoh yang berbaki ini pastikan anda melakukan persiapan yang mencukupi. 


Persediaan sebelum temuduga

Antara perkara yang anda boleh lakukan sebelum hadir temu duga, ialah:

1. Kaji syarikat dan panel penemuduga.

Antara perkara penting sebelum hadir temuduga, selidik dahulu maklumat penting mengenai syarikat atau organisasi tersebut agar dapat membantu anda menghadapi sesi temuduga ini dengan lebih yakin.

Anda boleh selidik melalui laman web syarikat, media sosial atau di halaman akhbar mengenai syarikat atau organisasi tersebut. 

Selain dapat menambah maklumat, anda juga dapat memahami dengan lebih kukuh mengenai matlamat serta hala tuju syarikat.

Dalam sesi temuduga, kaitkan bagaimana latar belakang dan pengalaman anda dapat menyumbang kepada syarikat.

2. Berlatih cara menjawab soalan ‘popular’ yang biasa ditanyakan dalam sesi temu duga.

Antara soalan popular yang sering ditanyakan oleh panel ialah: “Ceritakan tentang diri anda, dan mengapa anda berminat memohon jawatan ini di syarikat kami?” 

Tujuannya agar anda tidak mudah gugup dan lancar berkomunikasi dengan pihak penemuduga serta nilai apa yang anda akan sumbangkan kepada syarikat serta pekerjaan tersebut.

Anda juga perlu bersedia jika majikan ingin membincangkan nilai gaji anda. Buat kajian terlebih dahulu mengenai gaji yang setaraf dengan kelayakan anda. 

3. Baca berulang kali deskripsi kerja.

Jika perlu, cetak sahaja deskripsi pekerjaan tersebut , kemudian garis bawahkan kemahiran khusus yang dicari oleh majikan. Fikirkan contoh dari pengalaman kerja anda pada masa lalu atau pekerjaan semasa yang sedang anda lakukan yang menepati kriteria yang dikehendaki majikan.

4. Minta tolong rakan untuk bantu berlatih menjawab soalan temuduga.

Berlatih menjawab soalan seperti anda berada dalam sesi temuduga adalah cara yang paling berkesan untuk lebih bersedia.

Minta tolong rakan untuk bertanyakan soalan, dan anda cuba menjawab soalan. Lakukan berulang kali.  Anda akan dapati diri anda semakin yakin dan lancar berkomunikasi apabila sering berlatih.

5. Sediakan senarai individu dipercayai yang boleh dirujuk.

Panel penemuduga mungkin akan meminta anda untuk menyerahkan senarai orang yang boleh dirujuk sama ada sebelum atau selepas proses temuduga. Jika anda sudah menyediakan senarai individu rujukan lebih awal, maka ia akan memudahkan dan mempercepatkan urusan pihak majikan untuk melakukan proses pemilihan pekerja. 

Contoh individu yang boleh dirujuk ialah : Bekas majikan, Penyelia Latihan Industri, dan pensyarah. 

6. Buat persediaan jika anda disoal tentang contoh kerja yang pernah anda lakukan.

Semasa proses temuduga, anda mungkin akan ditanya mengenai pekerjaan yang anda pernah lakukan. 

Jadi setelah anda buat sedikit pengkajian mengenai deskripsi, skop atau penerangan tentang pekerjaan yang ditawarkan.

Cuba fikirkan pekerjaan yang pernah anda lakukan sebelum ini, sama ada kerja di dalam persatuan atau sukarelawan yang menunjukkan anda ada pengalaman dan ada pencapaian sebagaimana yang mereka kehendaki.

7. Sediakan soalan bernas untuk ditanyakan kepada penemuduga.

Proses temu adalah sesi bicara dua hala. Ada majikan yang gemar jika calon yang ditemuduganya mengemukakan soalan. Kerana mereka juga ingin tahu adakah anda sudah mempertimbangkan situasi anda untuk bekerja di syarikat mereka. 

Berikut adalah cadangan soalan yang mungkin anda boleh ditanyakan kepada panel penemuduga : 

  • Bolehkah pihak tuan/puan menjelaskan lebih lanjut mengenai tugas yang perlu dilaksanakan setiap hari bagi jawatan ini ?
  • Apakah kriteria atau ciri-ciri calon yang pihak tuan/puan cari untuk jawatan ini?
  • Sekiranya saya mendapat jawatan ini, apakah kayu ukur untuk mengukur prestasi saya? 
  • Apakah contoh bentuk kerjasama di antara setiap jabatan (department) ?
  • Apakah cabaran utama sekiranya mendapat jawatan ini?


Tindakan Semasa Temuduga

Setelah anda membuat persiapan, berikut pula adalah tips semasa hari berlangsungnya temuduga : 

8. Rancang pakaian temuduga sehari sebelum tarikh temuduga.

Sekiranya anda ada peluang untuk bertanyakan soalan sebelum tarikh temuduga, anda boleh bertanya kepada mereka tentang kod pakaian di tempat kerja dan pakailah pakaian yang sesuai sebagaimana disarankan.

Sekiranya anda tidak tahu, maka buat kajian terlebih dahulu mengenai pakaian yang sesuai. Walau apapun, pastikan pakaian yang dipakai kemas dan menarik. 

9. Bawa salinan resume, buku nota dan pen.

Bawa sekurang-kurangnya lima salinan resume bercetak sekiranya terdapat ramai panel penemuduga. Beri penekanan terhadap pencapaian isitimewa yang pernah anda capai.  

Jangan lupa untuk bawa pen dan buku nota kecil sebagai persediaan jika ada apa-apa yang perlu dicatat, tetapi jangan pula mencatat pada telefon pintar atau peranti elektronik anda yang lain.

Tuliskan maklumat yang anda perolehi semasa sesi temuduga ini supaya selepas ini maklumat tersebut dapat digunakan untuk menghantar emel tanda terima kasih. Selain itu, kawal pandangan mata (eye contact) sebaiknya dengan pihak panel.

10. Tiba awal iaitu sekurangnya 10-15 minit lebih awal.

Kenal pasti terlebih dahulu laluan anda ke lokasi temuduga agar anda tiba tepat pada waktunya.

Jika anda belum pernah tiba di lokasi temuduga, kenal pasti terlebih dahulu lokasi tempat temuduga.

Sekiranya anda menggunakan pengangkutan awam, pastikan ada backup plan, bimbang jika ada kelewatan atau servis ditutup pada hari tersebut. 

Tips: Apabila anda tiba pada awal waktu, gunakan waktu yang ada untuk memerhatikan situasi di  tempat kerja.

11. Jaga perkara yang nampak kecil, tapi impaknya besar.

Jangan lupa bahawa perkara-perkara kecil seperti mengilatkan kasut, memastikan kuku anda bersih dan kemas, pakaian kemas dan bersih amat penting diberi perhatian. Tunjukkan bahasa badan yang penuh keyakinan dan sentiasa senyum sepanjang masa.

12. Hormat sesiapa pun yang anda temui.

Termasuklah mereka yang berkerja di di jalan raya atau di tempat letak kereta, anggota keselamatan dan kakitangan di bahagian kaunter utama.

Layan sama rata dengan baik semua orang yang tidak anda kenali seolah-olah mereka adalah majikan anda.

Meskipun mereka bukanlah bakal majikan anda yang sebenar, tetapi siapa tahu jika majikan anda meminta pandangan atau maklum balas mereka.

13. Bersopan santun dan jaga bahasa badan (body-language).

Bermula saat anda memasuki bangunan, pastikan anda jaga bahasa badan agar kelihatan yakin namun masih bersikap sopan santun. Selain itu, jika hendak duduk atau berdiri pastikan, anda melakukannya dalam keadaan tegak. 

Sebelum sesi temuduga, tarik dahulu nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan untuk menguruskan perasaan supaya sentiasa relaks dan tidak cemas. Kebiasaannya, pihak panel penemuduga akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan anda namun jangan genggam terlalu erat tangan penemuduga. Selain itu, pastikan anda sentiasa senyum dan memandang mata panel. 

14. Menangi Hati Panel Penemuduga Dengan Menampilkan Sifat positif Dan Kejujuran.

Para majikan sangat gemar dan mengharapkan calon pekerja menunjukkan diri sebenar mereka semasa sesi temuduga. Sifat positif yang terpancar melalui senyuman serta bahasa badan yang menarik akan melancarkan proses sesi temuduga. 

15. Respons dengan jujur soalan yang diajukan.

Pernah tak anda terdetik untuk menipu panel mengenai kemahiran atau kejayaan anda? Ia satu perasaan yang normal kerana pada waktu temuduga kita ingin menunjukkan sisi terbaik diri kita. Namun, jangan sesekali-kali cuba menipu meskipun pengalaman diri kita tidak begitu gah. 

Apa pun yang berlaku, semasa sesi temuduga ini fokus pada kekuatan utama anda dan mengapa latar belakang anda dapat melayakkan untuk terpilih menyandang jawatan tersebut.

16. Kaitkan jawapan anda dengan kemahiran dan pencapaian anda.

Setiap kali menjawab soalan, sangat penting untuk anda mengaitkan latar belakang pekerjaan tersebut dengan memberikan contoh penyelesaian dan hasil yang telah anda capai. Gunakan setiap peluang untuk memenuhi keperluan yang disenaraikan dalam keterangan pekerjaan.

17. Pastikan jawapan anda ringkas dan berfokus.

Tempoh anda dalam sesi temuduga adalah terhad, jadi pastikan anda memanfaatkan setiap masa yang ada dan elakkan percakapan yang merapu-rapu. Untuk lebih fokus, anda digalakkan untuk berlatih berkomunikasi dahulu untuk kekal fokus. 

18. Jangan bercakap negatif mengenai majikan anda sebelum ini.

Syarikat akan mengambil pekerja yang peranannya adalah untuk menjadi penyelesai masalah (problem solver) bagi mengatasi situasi sukar.

Meskipun anda rasa tidak selesa dan ingin putus asa dengan pekerjaan semasa anda sekarang, tetap fokus untuk kongsikan apa yang telah anda perolehi berdasarkan pengalaman tersebut dan apa hala tuju anda seterusnya.

Tindakan Selepas Tamat Temuduga

Setelah selesai sesi temuduga, lakukan pula perkara ini : 

19. Tanya tindakan seterusnya.

Selepas tamat sesi temuduga anda, adalah wajar untuk anda bertanyakan kepada penemuduga anda, apa yang mereka harapkan selepas ini daripada calon.

Boleh jadi mereka meminta calon menulis e-mel susulan selepas tamat temuduga, atau boleh jadi juga mereka ingin memohon calon menghantar seperti tugasan atau senarai individu yang boleh dirujuk atau ingin mengadakan sesi temuduga seterusnya. 

20. Hantar emel terima kasih setelah temuduga.

Minta kad nama setiap individu panel yang ada semasa sesi temuduga supaya anda boleh secara menghantar eme emel tanda ucapan terima kasih secara berasingan kepada mereka. 

Sekiranya anda menghadiri sesi temuduga pada waktu pagi, hantarkan e-mel susulan pada hari yang sama.

Sekiranya anda hadir sesi temuduga pada sebelah petang, maka hantar emel susulan pada keesokan harinya.

Pastikan bahawa setiap isi mesej emel berbeza antara satu sama lain, dengan menggunakan nota catatan yang anda dapati semasa sesi temuduga. Semoga bermanfaat untuk anda! 


WAH! SOCAZ ada buat Flash Sale sehingga 7 Jun ni😲!

Hottest item on sale tau! Jom rebut:

  • Stokin Soka Ori (Kecuali warna Skin RM5.90)
  • Stokin Soka Ori SKIN (RM6.60)
  • Handsock Aaisya (Kecuali warna Hitam dan Beige RM8.99)
  • Handsock Aaisya HITAM DAN BEIGE (RM12)

Jangan fikir lama-lama, stok adalah terhad!

Contact number di bawah untuk order:

https://www.socaz.my/



Sumber di petik dari:

https://www.ikarier.com/2021/04/04/20-tips-berjaya-dalam-temuduga-panduan-sebelum-semasa-dan-selepas/



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping