icon-search

Kemurungan gejala kesedihan biasa atau penyakit

Kemurungan gejala kesedihan biasa atau penyakit

Akhir-akhir ini terdapat banyak liputan dibuat terhadap kesihatan mental serta penyakit mental di media sosial dan media massa.


Ini merupakan satu perkembangan yang positif di mana kesihatan mental telah mula mendapat perhatian ramai berbanding dahulu.


Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga menyatakan bahawa kesihatan mental akan menjadi fokus kementeriannya untuk tahun 2019

.

Di antara penyakit mental yang paling banyak diperkatakan ialah kemurungan atau dalam terma perubatan dikenali sebagai "Major Depressive Disorder (MDD)".


Kemurungan yang didiagnosis secara klinikal, bukanlah perasaan sedih yang biasa. Ia merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih yang berpanjangan serta menjejaskan fungsi harian seseorang individu.


Penyakit kemurungan telah dikenal pasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia pada ketika ini.


Ia diramalkan ia akan menjadi antara penyebab utama masalah kesihatan di negara-negara membangun menjelang tahun 2020 selepas penyakit jantung.


Di Malaysia ketika ini, kadar penyakit ini adalah sebanyak dua peratus dalam kalangan masyarakat. Ia adalah dua kali lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Penyakit kemurungan adalah berbeza dari kesedihan biasa. Adalah normal jika kita berasa sedih apabila berhadapan dengan insiden yang negatif atau menyedihkan.

Tetapi ia tidak berpanjangan dan kita masih dapat melakukan tugas harian seperti biasa.

Walau bagaimanapun, jika didapati bahawa perasaan sedih itu berterusan dan mula menjejaskan fungsi harian, maka ia perlu diberi perhatian.


Berikut adalah gejala penyakit kemurungan yang perlu diambil berat:


Tanda-tanda penyakit kemurungan:


1. Perasaan sedih sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu.

2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti yang disukai sebelumnya.

3. Kurang selera makan atau berat badan merosot (~5 peratus) daripada asal dalam waktu yang singkat.

4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).

5. Selalu letih dan kurang tenaga.

6. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.

7. Tidak mampu memberikan perhatian konsentrasi yang terjejas.

8. Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai rancangan untuk  membunuh diri.

9. Gejala ini menjejaskan fungsi seharian individu samaada dari segi aspek sosial atau pekerjaan.


Sebab-sebab berlaku kemurungan


Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan:


1. Genetik atau keturunan: Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi.

2. Personaliti diri: Individu dengan personaliti yang selalu gelisah, pendiam serta kurang ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.

3. Trauma ketika kanak-kanak: Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak seperti penderaan fizikal / mental atau kehilangan ibu bapa sewaktu kecil didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi.

4. Penggunaan dadah atau alkohol.

5. Tekanan hidup: Sejarah hidup yang negatif atau tekanan yang berterusan.

6. Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Bahan kimia utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Selain daripada itu norepinephrine dan dopamine juga turut terlibat. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita.



Sumber di petik dari:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gejala-kemurungan-kesedihan-biasa-atau-penyakit-196621



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping