icon-search

Menunaikan umrah terlebih dahulu ataupun haji

Menunaikan umrah terlebih dahulu ataupun haji

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Masjid Al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang diingini oleh seseorang individu kecuali masa menunaikan haji. Menunaikan umrah adalah ibadat seumpama seseorang itu mempersembahkan dirinya kepada Allah SWT. Sudah semestinya setiap masa ketika berada di sana akan digunakan sebaiknya untuk beribadat.


Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Masjid Al- Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat. Haji terdiri dari 3 jenis antaranya ialah Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran.


Haji Atau Umrah Dulu?

Fenomena dalam masyarakat islam pada masa kini terutamanya di Malaysia adalah mereka memilih untuk menunaikan umrah terlebih dahulu daripada pergi haji atas pendapat masing–masing, malah ada yang sudah berkali-kali menunaikan umrah dan masih belum berkesempatan untuk menunaikan  haji kerana sistem giliran menunggu yang sangat panjang dan ramai.


Selain itu, mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk menunaikan haji. Sekadar untuk ziarah Baitullah dan melancong ke tempat yang sama dengan pakej ziarah, semata-mata untuk berdoa, berubat atau bertaubat disebabkan masalah dan penyakit yang dialami. Belum bersedia untuk digelar haji atau hajjah kerana bila dah pegang nama tersebut banyak amalan lama dalam hidup tidak dapat dilakukan, risau dan bimbang jika menunaikan ibadah haji akan menerima “balasan” dari Allah dan macam-macam lagi. Mudah-mudahan niat yang baik akan menghasilkan kebaikan kepada kita kerana melalui niat kita mendapat apa yang diniatkan.


Sekiranya mereka mampu dari segi kewangan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah juga tidak menjadi masalah. Bagi sesetengah orang, mereka sering menunaikan ibadah umrah terlebih dahulu kerana kos yang tidak terlalu mahal seperti ibadah haji. Ibadah umrah juga boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Jadi, ia tidak menjadi masalah untuk menunaikan ibadah umrah pada bulan apapun kecuali bulan musim haji. Tempoh masa juga adalah salah satu faktor kenapa mereka atau bakal jemaah di Malaysia ini lebih memilih untuk menunaikan ibadah umrah terlebih dahulu berbanding Haji. kerana, masa untuk menunaikan ibadah umrah tidak terlalu lama berbanding haji, maka sekiranya ia tidak lama persiapan fizikal dan mental juga tidak terlalu banyak. Berbanding Haji, persiapan mental dan fizikal memerlukan tenaga yang banyak kerana tempoh menunaikan ibadah itu lama.


Kesimpulan 

Melakukan ibadah haji atau umrah adalah perkara yang paling disukai dan menjadi harapan para bakal jemaah dari seluruh dunia. Ada yang mampu, ada juga yang tidak mampu dari segi kewangan, fizikal dan juga mental. Bagi mereka yang kurang berkemampuan serta bercita-cita dan menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah ini sering bertungkus-lumus untuk mengumpul duit dan sentiasa berharap sekiranya mereka boleh sampai dan menjejakkan kaki di Tanah Suci itu. Bagi mereka yang berkemampuan dari semua segi, sekiranya sihat dari segi tubuh badan, fizikal dan mental, pergilah menunaikan umrah atau haji. Tidak rugi dan tidak luak wang anda sekiranya mengerjakan banyak kali. Itu dinamakan rezeki dan peluang yang anda perlu rebut untuk sampai ke sana. Berharap artikel ini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan tentang ibadah umrah dan haji bagi umat Islam di muka bumi ini.


Sumber di petik dari:

https://www.umrahhajitravel.com/haji-dulu-atau-umrah-dulu/



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping